Tuesday 23 July 2013




kaifahalukum jami'an..diharapkan rakan-rakan blogger sentiasa dalam keadaan sihat walafiat hendaknya....sudah lama rasanya saya tak menulis dalam entri SS nie.....alhamdulillah hari nie ada waktu yang sedikit terluang untuk saya berkongsi sedikit curahan keringat yang saya nukilkan untuk rakan-rakan blogger semua.. tidak pernah dilupakan untuk memanjatkan setinggi- tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang tidak pernah putus memberi nikmat yang kita sendiri tidak mampu untuk membayarnya..bukan saja kita tidak mampu membayarnya bahkan kita juga tidak mampu untuk menghitung nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita.. SubhanAllah...Selawat dan salam untuk Nabi tercinta Saidina Muhammad SAW, Rasul Pesuruh Allah yang akhlaknya sangat indah sehingga tidak ada satu pun kekurangan padanya...dan dipohonkan kesejahteraan buat ibu, ayah, guru-guru, sahabat-sahabat dan seluruh muslimin dan muslimat samada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia...

buat entri kali ini, SS ada sesuatu untuk disajikan kepada rakan-rakan blogger sekalian yang SS rasakan perlu di kongsi bersama... alhamdulillah pada 11 Februari yang lalu, saya berkesempatan untuk menghadiri satu majlis ilmu yang dianjurkan oleh Biro Perkhidmatan Pendidikan- Majlis Islam Sarawak (BPP-MIS) di Wisma Wanita Jalan Sultan Tengah...cuba lihat poster dibawah ini...hihihi



nahhh....anda sudah lihat poster kan...pengalaman & peluang ini mungkin tidak akan berulang kembali...tapi apa yang disampaikan di dalam siri tasawwur Islam kali ini sangat bermakna dan amat bererti bagi saya...walaupun tajuk yang di sampaikan di dalam siri 1 dan siri 2 agak berat, namun ianya adalah satu idealogi atau satu topik yang sebenarnya sangat penting untuk diketahui oleh masyarakat Islam masa kini.

apa yang menariknya di sini, menurut Dr. Mohd Farid dalam tajuknya pengenalan kepada alam Islam, kita harus melihat pandangan  alam itu dengan cara yang betul, maksudnya di sini sesuatu isu atau penilaian terhadap sesuatu perkara itu harus di nilai dengan cara yang betul. sebagai contoh, seseorang yang menyokong fahaman sekularisme atau liberalisme akan berpendapat bahawa isu LGBT itu tidak ada salah nya..bahkan mereka menyokong hubungan sesama jenis seolah-olah perkara itu tidak melanggar tabiie manusia atas alasan hak asasi manusia. Namun berbeza dengan kaca mata seorang muslim, yang memandang perkara ini sebagai satu perkara yang salah yang melanggar fitrah semulajadi manusia yang suka kepada pasangan yang berlawanan jantina. YB Dr juga ada mengatakan bahawa sebagai seorang muslim kita perlu ada ilmu pengetahuan..kerana ilmu lah yang akan mempengaruhi penilaian seseorang.. apa yang boleh disimpulkan di sini, kita harus membuat penilaian terhadap sesuatu isu itu berdasarkan pandangan alam yang betul sesuai dengan penilaian peta hidup seseorang muslim....( aarrrr...dah rasakan..betapa beratnya topik nie..ini baru sedikit yang saya cuba kongsikan di sini..banyak lagi isu-isu yang di bincangkan dalam siri 1 ..tapi saya hanya highlight kan point yang saya rasa agak penting untuk rakan- rakan blogger fikir dan dalami maksud yang tersirat.)

untuk siri 2 pula yang disampaikan oleh ustaz Mohd Hilmi bin Ramli, beliau telah membawa tajuk budaya ilmu dalam pandangan alam Islam yang mana topik ini juga sangat menarik dan berguna untuk kita hayati bersama..tapi untuk entry kali ini, SS tidak akan mengupas topik ini dahulu...diharapkan rakan- rakan bersabar untuk menunggu entry yang seterusnya berkaitan dengan topik budaya ilmu dalam pandangan alam Islam yang dikupas dengan begitu menarik oleh ustaz Mohd Hilmi pada siri 2 ini.

diharapkan Allah memberi kekuatan, ruang dan masa untuk menulis dalam ruangan blog SS pada entry yang akan datang...Wallahhu'alam...

PENGHULU BIDADARI SYURGA



Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan...daripadanyalah aku mendapatkan keturunan." ( HR Ahmad, Al- Isti'ab karya Ibnu Abdil Ba'ar)

Bergenang air mata baginda Rasul yang mulia saat perginya wanita hebat ini. Insan yang setia menemani baginda dalam perjuangan menyebarkan dakwah sudah tiada lagi. Perginya sangat terkesan di hati Rasulullah SAW. Hilanglah seorang insan tempat baginda berkongsi segala liku- liku perjalanan dakwah baginda. Wanita hebat yang dimaksudkan ialah Saidatina Khadijah R.A. bidadari syurga yang tiada gantinya di dunia ini.

SAIDATINA KHADIJAH BINTI KHUWAILID RA.. Satu nama yang cukup indah dalam rentetan sirah Nabawiyyah. Seorang wanita daripada keturunan terhormat serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cergas. Saidatina Khadijah merupakan isteri yang pertama dalam hidup baginda Nabi SAW sekaligus menjadi wanita pertama yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Keperibadian Saidatina Khadijah telah menjadikan hati dan hidup  Nabi Muhammad SAW cukup bahagia. Saidatina Khadijah sangat bermakna dalam kehidupan Rasulullah sehinggakan beliau telah dikurniakan dengan berbagai gelaran antaranya ialah Ummul Mu’minin dan juga Thahirah kerana beliau dikenali sebagai seorang wanita yang menjaga kehormatan dirinya.

Saidatina Khadijah dilahirkan di sebuah rumah pangsapuri yang megah dan besar pada tahun 68 sebelum hijrah atau 15 sebelum tahun gajah melalui rahim seorang wanita budiman, Fatimah binti Zadah bin Al- Asyam bin Harim bin Rawahah bin Hajar bin ‘Abdi bin Ma’ish bin ‘Amir bin Luwai bin Ghalib bin Fihr, datuk peringkat ke sepuluh dari Nabi Muhammad SAW. Bapanya bernama Khuwalid bin Asad bin ‘Abdul ‘Uzza bin Qusyai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luwai bin Ghalib bin Fihr. Beliau diasuh dan dibesarkan oleh kedua- dua ibu bapanya dengan penuh kasih sayang serta diberikan tarbiah yang sempurna sesuai dengan keadaan tuntutan zamannya. (Akmal Mohd. Zain & Mohd. Sofwan Amirullah, 2004: 1)

Selaku wanita yang mendapat tarbiyah sejak kecil lagi, Saidatina Khadijah telah memiliki sikap peribadi yang mulia. Beliau sangat kuat berpegang kepada nilai dan tatasusila yang terpuji. Dia juga dikenali sebagai seorang wanita bijak dan cepat memahami sesuatu masalah, menjaga diri dari amalan keji, berperilaku yang suci, dan pemurah. Wajahnya cantik menawan, berseri, halus perasaannya, merasa puas hati melakukan sesuatu dengan adil dalam meninggalkan nilai- nilai moral.
Ayahnya tercinta, Khuwailid bin Asad wafat kira- kira pada tahun 584 Masihi iaitu sebelum perang Fijar. Manakala ibu Saidatina Khadijah wafat pada tahun 575 Masihi. Setelah ibu dan ayah Saidatina Khadijah wafat kekayaaan dan harta diagihkan kepada Saidatina Khadijah dan adik- beradiknya. Antara adik- beradiknya, hanya Saidatina Khadijah yang mewarisi kebolehan ayahnya untuk menjadi kaya. Oleh kerana Saidatina Khadijah dikurniakan kecerdasan yang luar biasa, beliau mengambil alih tanggungjawab perniagaan keluarganya dan segera mengembangkannya. Beliau ingin memperoleh kekayaan hasil dari titik peluhnya sendiri. Salah seorang bapa saudaranya iaitu Amrin bin Asad yang menjaga beliau setelah kewafatan ibu dan ayahnya bertindak sebagai penasihat beliau dalam masalah perniagaan. Anggota keluarga yang lain juga turut membantu apabila beliau memerlukan pertolongan. Walaupun begitu, dalam membuat keputusan, beliau tidak akan bergantung pada sesiapapun malah akan membuat keputusannya sendiri.

Tahun demi tahun, Saidatina Khadijah melangkah memasuki alam remajanya. Sungguhpun demikian, beliau tetap kekal dengan sikap dan sifat- sifat terpuji yang diamalkannya sejak kanak- kanak lagi. Kejelitaan dan wajahnya yang ayu ditambah dengan sikap dan sifat- sifat peribadinya yang luhur telah menawan hati para pemuda untuk mempersuntingnya bagi dijadikan teman hidup. Tidak aneh jika kemudian yang datang meminangnya dari kalangan orang- orang terpandang dan bangsawan Quraisy.

Sebelum berkahwin dengan baginda Nabi Muhammad SAW, Saidatina Khadijah dinikahi oleh Abu Halah bin Zurarah bin Habib bin Salamah bin ‘Adiy bin Jarwah bin Usaid bin ‘Amru bin Tamin Al- Tamini dan dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Halah dan Hanad. Setelah suami pertamanya meninggal dunia, Saidatina Khadijah berkahwin dengan seorang lelaki, juga dari kalangan bangsawan yang dikenali sebagai ‘Atiq bin ‘Atidz bin ‘Abdillah bin Umar bin Mahzum Al- Mahzumiy. Namun begitu, perkahwinan beliau dengan ‘Atiq tidak kekal lama, kemudian mereka berpisah. Selepas perpisahannya dengan suaminya yang kedua, Saidatina Khadijah menjanda beberapa tahun lamanya walaupun ramai para bangsawan dan hartawan datang meminangnya. Beliau lebih menumpukan perhatian kepada mendidik dan mengasuh anak- anaknya, menguruskan rumahtangganya dan perniagaannya.

Perniagaan Saidatina Khadijah kian maju hinggga ke Yaman dan Syam. Maka dengan itu, beliau ingin mengambil Nabi Muhammad SAW sebagai pekerjanya bagi menguruskan dagangannya ke negeri Syam. Beliau mengutuskan pembantunya yang bernama Maisarah untuk memerhatikan gerak geri Nabi Muhammad. Setelah sekian lama mengenali diri dan sifat- sifat baginda Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah mula jatuh cinta pada baginda dan dari situlah terjalinnya ikatan perkahwinan Saidatina Khadijah dengan Nabi Muhammad SAW, dimana umur Saidatina Khadijah pada ketika itu ialah 40 tahun manakala umur Nabi Muhammad SAW ialah 25 tahun.

Dari hasil perkahwinan yang sungguh harmoni ini, mereka berdua telah dikurniakan enam cahaya mata iaitu empat puteri dan dua putera. Anak pertama mereka ialah Al-Qasim. Al-Qasim wafat ketika berusia satu tahun. Selepas kelahiran Al-Qasim, diikuti dengan kelahiran Zainab, Ruqayyah, Ummu Kaltsum, Siti Fatimah Az-Zahra dan Abdullah. Abdullah wafat ketika masih bayi lagi. Semua puteri Saidatina Khadijah dan Nabi Muhammad S. A. W. wafat ketika Nabi Muhammad S. A. W. masih hidup kecuali Siti Fatimah Az-Zahra wafat enam bulan selepas wafatnya bapanya, Nabi Muhammad S. A. W.

Saidatina Khadijah tidak pernah meminta apa-apa pun dari suaminya. Jangankan minta berikan sesuatu, bahkan beliau banyak menggunakan wangnya untuk keperluan orang-orang Muslim. Selain itu, beliau seorang wanita sempurna. Saidatina Khadijah tidak pernah berasa cemburu. Beliau selalu bersyukur, gembira dan mempunyai perasaan puas dalam memberikan sesuatu. Beliau juga tidak pernah menyakiti orang, tidak pernah marah, berdendam, mengumpat atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang lain.

Peristiwa pemulauan yang dilancarkan oleh kaum musyrikin Mekah terhadap Nabi Muhammad dan seluruh umat Islam adalah merupakan satu peristiwa yang amat memilukan perasaan Khadijah. Beliau amat sedih dan duka kerana tindakan yang keterlaluan itu. Maka salah satu penawar duka itu, beliau selalu berdoa kepada Allah dengan khusyuk semoga Allah mengurangkan penderitaan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh kaum Muslimin.


Peristiwa demi peristiwa yang dialami dan disaksikan oleh Saidatina Khadijah memberi kesan yang mendalam di dalam jiwanya. Beliau merupakan pendorong dan tulang belakang nabi dalam perjalanan dakwah menyebarkan Islam. Ummul Mukminin ini sentiasa berada di samping Rasulullah SAW dan memberikan pembelaan terhadap baginda. Beliau juga bergabung bersama Rasulullah dan kaum Muslimin dalam memikul penderitaan lantaran sikap kaumnya yang mendustakan dan melecehkan dakwah baginda. Kesabaran dan keredhaan Khadijah dapat dilihat dengan jelas dalam siri hambatan terhadap dakwah Rasulullah, termasuklah dalam fasa pemboikotan terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib oleh orang-orang Quraisy yang selama ini menjadi pelindung kepada Rasulullah.

Seperti yang telah pun dimaklumkan, bahawa Saidatina Khadijah kini tiba di penghujung hayatnya. Fikrahnya, kesihatan dan kemampuannya tidak lagi secergas dahulu. Bermula dengan dilucutnya akta pemulauan itu, dengan dikoyaknya warkah bertulis pemulauan oleh Mut’im bin Adiy, maka berakhirlah masa pemulauan kafir Quraisy terhadap umat Islam dan khasnya kepada Nabi Muhammad serta keluarga baginda. Ekoran dari keadaan itu, Rasulullah segera kembali ke rumah yang mana pada saat itu Khadijah dalam keadaan sakit.
Betapa pun tenat dan lemahnya, Khadijah masih tetap bermanis muka dan memandang suaminya dengan senyum dan tatapan yang sayu tetapi bermakna. Agaknya itulah kali terakhir Saidatina Khadijah tersenyum dan menatap wajah Rasulullah yang amat disayangi dan dicintainya. Saat demi saat berlalu, penyakit Khadijah pun kian tenat. Nabi Muhammad yakin bahawa Khadijah akan pergi meninggalkannya. Ditakdirkan Allah SWT, pada usia 65 tahun iaitu 3 tahun sebelum Hijrah, Khadijah RA kembali menghadap penciptanya  di saat-saat dakwah melalui fasa genting yang bakal menentukan kelangsungannya. Pemergian beliau ditangisi Rasulullah SAW berlaku dalam selang waktu yang singkat selepas meninggalnya Abu Thalib, bapa saudara baginda. Sejak tahun kesedihan tersebut, hambatan-hambatan dakwah yang semakin getir dengan gangguan yang tidak putus-putus mula berani dilakukan oleh kaum kafir Musyrikin di Makkah.

Justeru itu, muslim manakah yang tidak pernah mendengar sebutan namanya?.  Siapakah yang menyangka di saat itu, keharuman peribadinya kelak akan merebak di sepanjang sejarah Islam di dada setiap kaum Muslimin? Siapakah yang terfikir bahawa wanita mulia ini akan dikurniakan satu keutamaan yang amat besar yang tidak pernah diperolehi oleh sekalian hamba Allah sejak penciptaan insan? Siapakah yang menduga bahawa wanita cantik jelita ini akan mendampingi manusia yang paling agung dalam rentang awal perjalanan dakwahnya? Siapakah yang mampu meramal ketentuan Allah ini? Maha Suci Allah yang telah menciptakan dan mentakdirkan wanita mulia ini sebagai pendamping Nabi akhir zaman. Beliaulah Saidatina Khadijah yang namanya sentiasa disebut- sebut oleh penduduk langit dan bumi yang menjadi bidadari dunia juga menjadi penghulu sekalian bidadari di syurga. Semoga kita dapat menjadikan Saidatina Khadijah sebagai suri teladan dalam hidup kita yang sentiasa tabah dan sabar dalam menghadapi ujian keimanan di dunia ini dan juga semoga kita diberikan keteguhan hati dalam mencintai insan- insan yang mencintai baginda Rasulullah SAW. Insha Allah.

Alhamdulillah Allah rezekikan SS untuk menghadiri majlis Pembacaan Manaqib Sayyidah Khadijah Al-Kubro & Pelancaran Haruman Mawar buat Sayyidah Khadijah Al- Kubro pada 11 Ramadhan yang lalu bersempena memperingati kewafatan isteri baginda Rasul yang mulia Saidatina Khadijah RA...Selawat dan salam buat Nabi Muhammad SAW, kaluarga baginda serta sahabat- sahabat baginda..semoga kita termasuk dalam golongan orang- orang yang diberikan Syafaat di yaumul akhir..Wallahhu'alam..