Bergenang air mata
baginda Rasul yang mulia saat perginya wanita hebat ini. Insan yang setia
menemani baginda dalam perjuangan menyebarkan dakwah sudah tiada lagi. Perginya
sangat terkesan di hati Rasulullah SAW. Hilanglah seorang insan tempat baginda
berkongsi segala liku- liku perjalanan dakwah baginda. Wanita hebat yang
dimaksudkan ialah Saidatina Khadijah R.A. bidadari syurga yang tiada gantinya
di dunia ini.
SAIDATINA KHADIJAH BINTI KHUWAILID RA.. Satu nama yang cukup indah dalam
rentetan sirah Nabawiyyah. Seorang wanita daripada keturunan terhormat serta
terkenal sebagai wanita yang tegas dan cergas. Saidatina Khadijah merupakan
isteri yang pertama dalam hidup baginda Nabi SAW sekaligus menjadi wanita
pertama yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Keperibadian Saidatina
Khadijah telah menjadikan hati dan hidup Nabi Muhammad SAW cukup bahagia.
Saidatina Khadijah sangat bermakna dalam kehidupan Rasulullah sehinggakan
beliau telah dikurniakan dengan berbagai gelaran antaranya ialah Ummul Mu’minin
dan juga Thahirah kerana beliau dikenali sebagai seorang wanita yang menjaga
kehormatan dirinya.
Saidatina Khadijah dilahirkan di sebuah rumah pangsapuri yang megah dan besar
pada tahun 68 sebelum hijrah atau 15 sebelum tahun gajah melalui rahim seorang
wanita budiman, Fatimah binti Zadah bin Al- Asyam bin Harim bin Rawahah bin
Hajar bin ‘Abdi bin Ma’ish bin ‘Amir bin Luwai bin Ghalib bin Fihr, datuk
peringkat ke sepuluh dari Nabi Muhammad SAW. Bapanya bernama Khuwalid bin Asad
bin ‘Abdul ‘Uzza bin Qusyai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luwai bin Ghalib
bin Fihr. Beliau diasuh dan dibesarkan oleh kedua- dua ibu bapanya dengan penuh
kasih sayang serta diberikan tarbiah yang sempurna sesuai dengan keadaan
tuntutan zamannya. (Akmal Mohd. Zain & Mohd. Sofwan Amirullah, 2004: 1)
Selaku wanita yang mendapat tarbiyah sejak kecil lagi, Saidatina Khadijah telah
memiliki sikap peribadi yang mulia. Beliau sangat kuat berpegang kepada nilai
dan tatasusila yang terpuji. Dia juga dikenali sebagai seorang wanita bijak dan
cepat memahami sesuatu masalah, menjaga diri dari amalan keji, berperilaku yang
suci, dan pemurah. Wajahnya cantik menawan, berseri, halus perasaannya, merasa
puas hati melakukan sesuatu dengan adil dalam meninggalkan nilai- nilai moral.
Ayahnya tercinta, Khuwailid bin Asad wafat kira- kira pada tahun 584 Masihi
iaitu sebelum perang Fijar. Manakala ibu Saidatina Khadijah wafat pada tahun
575 Masihi. Setelah ibu dan ayah Saidatina Khadijah wafat kekayaaan dan harta
diagihkan kepada Saidatina Khadijah dan adik- beradiknya. Antara adik-
beradiknya, hanya Saidatina Khadijah yang mewarisi kebolehan ayahnya untuk
menjadi kaya. Oleh kerana Saidatina Khadijah dikurniakan kecerdasan yang luar
biasa, beliau mengambil alih tanggungjawab perniagaan keluarganya dan segera
mengembangkannya. Beliau ingin memperoleh kekayaan hasil dari titik peluhnya
sendiri. Salah seorang bapa saudaranya iaitu Amrin bin Asad yang menjaga beliau
setelah kewafatan ibu dan ayahnya bertindak sebagai penasihat beliau dalam
masalah perniagaan. Anggota keluarga yang lain juga turut membantu apabila
beliau memerlukan pertolongan. Walaupun begitu, dalam membuat keputusan, beliau
tidak akan bergantung pada sesiapapun malah akan membuat keputusannya sendiri.
Tahun demi tahun, Saidatina Khadijah melangkah memasuki alam remajanya.
Sungguhpun demikian, beliau tetap kekal dengan sikap dan sifat- sifat terpuji
yang diamalkannya sejak kanak- kanak lagi. Kejelitaan dan wajahnya yang ayu
ditambah dengan sikap dan sifat- sifat peribadinya yang luhur telah menawan
hati para pemuda untuk mempersuntingnya bagi dijadikan teman hidup. Tidak aneh
jika kemudian yang datang meminangnya dari kalangan orang- orang terpandang dan
bangsawan Quraisy.
Sebelum berkahwin dengan baginda Nabi Muhammad SAW, Saidatina Khadijah dinikahi
oleh Abu Halah bin Zurarah bin Habib bin Salamah bin ‘Adiy bin Jarwah bin Usaid
bin ‘Amru bin Tamin Al- Tamini dan dikurniakan dua orang cahaya mata bernama
Halah dan Hanad. Setelah suami pertamanya meninggal dunia, Saidatina Khadijah
berkahwin dengan seorang lelaki, juga dari kalangan bangsawan yang dikenali
sebagai ‘Atiq bin ‘Atidz bin ‘Abdillah bin Umar bin Mahzum Al- Mahzumiy. Namun
begitu, perkahwinan beliau dengan ‘Atiq tidak kekal lama, kemudian mereka
berpisah. Selepas perpisahannya dengan suaminya yang kedua, Saidatina Khadijah
menjanda beberapa tahun lamanya walaupun ramai para bangsawan dan hartawan
datang meminangnya. Beliau lebih menumpukan perhatian kepada mendidik dan
mengasuh anak- anaknya, menguruskan rumahtangganya dan perniagaannya.
Perniagaan Saidatina Khadijah kian maju hinggga ke Yaman dan Syam. Maka dengan
itu, beliau ingin mengambil Nabi Muhammad SAW sebagai pekerjanya bagi
menguruskan dagangannya ke negeri Syam. Beliau mengutuskan pembantunya yang
bernama Maisarah untuk memerhatikan gerak geri Nabi Muhammad. Setelah sekian
lama mengenali diri dan sifat- sifat baginda Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah
mula jatuh cinta pada baginda dan dari situlah terjalinnya ikatan perkahwinan
Saidatina Khadijah dengan Nabi Muhammad SAW, dimana umur Saidatina Khadijah
pada ketika itu ialah 40 tahun manakala umur Nabi Muhammad SAW ialah 25 tahun.
Dari hasil perkahwinan yang sungguh harmoni ini, mereka berdua telah
dikurniakan enam cahaya mata iaitu empat puteri dan dua putera. Anak pertama
mereka ialah Al-Qasim. Al-Qasim wafat ketika berusia satu tahun. Selepas
kelahiran Al-Qasim, diikuti dengan kelahiran Zainab, Ruqayyah, Ummu Kaltsum,
Siti Fatimah Az-Zahra dan Abdullah. Abdullah wafat ketika masih bayi lagi.
Semua puteri Saidatina Khadijah dan Nabi Muhammad S. A. W. wafat ketika Nabi
Muhammad S. A. W. masih hidup kecuali Siti Fatimah Az-Zahra wafat enam bulan
selepas wafatnya bapanya, Nabi Muhammad S. A. W.
Saidatina Khadijah tidak pernah meminta apa-apa pun dari suaminya. Jangankan
minta berikan sesuatu, bahkan beliau banyak menggunakan wangnya untuk keperluan
orang-orang Muslim. Selain itu, beliau seorang wanita sempurna. Saidatina
Khadijah tidak pernah berasa cemburu. Beliau selalu bersyukur, gembira dan
mempunyai perasaan puas dalam memberikan sesuatu. Beliau juga tidak pernah
menyakiti orang, tidak pernah marah, berdendam, mengumpat atau mengeluarkan
kata-kata kesat terhadap orang lain.
Peristiwa pemulauan yang dilancarkan oleh kaum musyrikin Mekah terhadap Nabi
Muhammad dan seluruh umat Islam adalah merupakan satu peristiwa yang amat
memilukan perasaan Khadijah. Beliau amat sedih dan duka kerana tindakan yang
keterlaluan itu. Maka salah satu penawar duka itu, beliau selalu berdoa kepada
Allah dengan khusyuk semoga Allah mengurangkan penderitaan dan kesengsaraan
yang ditanggung oleh kaum Muslimin.
Peristiwa demi peristiwa yang dialami dan disaksikan oleh Saidatina Khadijah
memberi kesan yang mendalam di dalam jiwanya. Beliau merupakan pendorong dan
tulang belakang nabi dalam perjalanan dakwah menyebarkan Islam. Ummul Mukminin ini sentiasa berada di
samping Rasulullah SAW dan memberikan pembelaan terhadap baginda. Beliau juga
bergabung bersama Rasulullah dan kaum Muslimin dalam memikul penderitaan
lantaran sikap kaumnya yang mendustakan dan melecehkan dakwah baginda.
Kesabaran dan keredhaan Khadijah dapat dilihat dengan jelas dalam siri hambatan
terhadap dakwah Rasulullah, termasuklah dalam fasa pemboikotan terhadap Bani
Hasyim dan Bani Abdul Muthalib oleh orang-orang Quraisy yang selama ini menjadi
pelindung kepada Rasulullah.
Seperti yang telah pun dimaklumkan, bahawa Saidatina Khadijah kini
tiba di penghujung hayatnya. Fikrahnya, kesihatan dan kemampuannya tidak lagi
secergas dahulu. Bermula dengan dilucutnya akta pemulauan itu, dengan
dikoyaknya warkah bertulis pemulauan oleh Mut’im bin Adiy, maka berakhirlah
masa pemulauan kafir Quraisy terhadap umat Islam dan khasnya kepada Nabi
Muhammad serta keluarga baginda. Ekoran dari keadaan itu, Rasulullah segera
kembali ke rumah yang mana pada saat itu Khadijah dalam keadaan sakit.
Betapa pun tenat dan lemahnya, Khadijah masih tetap bermanis muka dan memandang
suaminya dengan senyum dan tatapan yang sayu tetapi bermakna. Agaknya itulah
kali terakhir Saidatina Khadijah tersenyum dan menatap wajah Rasulullah yang
amat disayangi dan dicintainya. Saat demi saat berlalu, penyakit Khadijah pun
kian tenat. Nabi Muhammad yakin bahawa Khadijah akan pergi meninggalkannya.
Ditakdirkan Allah SWT, pada usia 65 tahun iaitu 3 tahun sebelum Hijrah,
Khadijah RA kembali menghadap penciptanya di saat-saat dakwah melalui
fasa genting yang bakal menentukan kelangsungannya. Pemergian beliau ditangisi
Rasulullah SAW berlaku dalam selang waktu yang singkat selepas meninggalnya Abu
Thalib, bapa saudara baginda. Sejak tahun kesedihan tersebut, hambatan-hambatan
dakwah yang semakin getir dengan gangguan yang tidak putus-putus mula berani
dilakukan oleh kaum kafir Musyrikin di Makkah.
Justeru itu, muslim manakah yang tidak pernah mendengar sebutan namanya?.
Siapakah yang menyangka di saat itu, keharuman peribadinya kelak akan merebak
di sepanjang sejarah Islam di dada setiap kaum Muslimin? Siapakah yang terfikir
bahawa wanita mulia ini akan dikurniakan satu keutamaan yang amat besar yang
tidak pernah diperolehi oleh sekalian hamba Allah sejak penciptaan insan?
Siapakah yang menduga bahawa wanita cantik jelita ini akan mendampingi manusia
yang paling agung dalam rentang awal perjalanan dakwahnya? Siapakah yang mampu
meramal ketentuan Allah ini? Maha Suci Allah yang telah menciptakan dan
mentakdirkan wanita mulia ini sebagai pendamping Nabi akhir zaman. Beliaulah
Saidatina Khadijah yang namanya sentiasa disebut- sebut oleh penduduk langit
dan bumi yang menjadi bidadari dunia juga menjadi penghulu sekalian bidadari di
syurga. Semoga kita dapat menjadikan Saidatina Khadijah sebagai suri teladan
dalam hidup kita yang sentiasa tabah dan sabar dalam menghadapi ujian keimanan
di dunia ini dan juga semoga kita diberikan keteguhan hati dalam mencintai
insan- insan yang mencintai baginda Rasulullah SAW. Insha Allah.
Alhamdulillah
Allah rezekikan SS untuk menghadiri majlis Pembacaan Manaqib Sayyidah Khadijah
Al-Kubro & Pelancaran Haruman Mawar buat Sayyidah Khadijah Al- Kubro pada
11 Ramadhan yang lalu bersempena memperingati kewafatan isteri baginda Rasul
yang mulia Saidatina Khadijah RA...Selawat dan salam buat Nabi Muhammad SAW,
kaluarga baginda serta sahabat- sahabat baginda..semoga kita termasuk dalam
golongan orang- orang yang diberikan Syafaat di yaumul akhir..Wallahhu'alam..